KESIMPULAN
Hasrat, perancangan dan strategi reformasi pendidikan yang terjelma melalui Penyata Razak 1956 dulu telah menampakkan kejayaan. Walaupun tidak sepenuhnya. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bahasa dan kaum, adalah amat wajar bahasa Melayu telah dipilih untuk menjadikan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara. Kesan dari tinggalan penjajahan British dahulu amat payah untuk kita selesaikan, kerana masyarakat Tanah Melayu pada waktu itu dibentuk dengan sengaja oleh British untuk kepentingan politik mereka. Dasar pecah dan perintah yang dijalankan itu, menyebabkan pemimpin-pemimpin negara sampai sekarang terpaksa memikirkan jalan tebaik untuk mencapai perpaduan. Dalam suasana masyarakat majmuk yang mempunyai "ethno-centristic" yang masyarakatnya mempunyai pelbagai agama, budaya dan fahaman "Cultural pluralism" tentunya perkara yang berkaitan dengan perpaduan nasional perlu diambil perhatian dari semasa ke semasa. Untuk mewujudkan proses pemasyarakatan ini, Pendidikan adalah merupakan satu kaedah terpenting. Menyedari betapa pentingnya tujuan untuk memastikan sistem pendidikan negara menjadi wadah berkesan ke arah memenuhi aspirasi negara, selaras dengan usaha untuk melahirkan generasi yang bersatu padu, dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat, membina kemajuan dan kesejahteraan diri serta menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran Negara, semua pendidik harus meletakkan kepentingan nasional dan negara pada kedudukan paling utama daripada kepentingan masing-masing. Hal ini dapat dilakukan dengan memberikan sokongan dan dorongan kepada usaha-usaha murni dan program-program yang sistematik. Kesemua ini adalah bertujuan memupuk dan mengukuhkan hubungan antara kaum yang terdapat di Malaysia tanpa melupakan matlamat dan aspirasi negara dalam menuju Wawasan 2020 iaitu menjadi negara maju mengikut acuan sendiri.
No comments:
Post a Comment