Friday, November 24, 2023

KONSEP ASAS PERPADUAN

 

KONSEP ASAS PERPADUAN



Integrasi amat sukar untuk difahami kerana memerlukan pengorbangan dalam menjayakannya. Proses ini bukan mudah dicapai sekiranya masyarakat di Malaysia masih lagi mempunyai sikap berpuak-puak dan bersikap perkauman antara satu dan lain. Sebab itulah terdapatnya tiga konsep asas perpaduan dan integrasi nasional yang perlu kita fahami terlebih dahulu.



Asimilasi  - Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, asimilasi bermaksud pemaduan bermacam-macam atau jenis atau berbagai-bagai unsur menjadi satu seperti pemaduan unsur-unsur daripada kebudayaan yang berlainan menjadi satu kebudayaan. Ini bermakna asimilasi merupakan satu proses dua kebudayaan dibentuk menjadi satu bentuk budaya yang baru bagi mengurangkan perbezaan etnik yang ketara. Masyarakat yang berfikiran secara berlainan akan bersatu dalam kebudayaan yang sama.. Asimilasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti diwakili dengan formula A+B+C =A. Etnik minoriti iaitu B dan C akan mengamalkan bentuk kebudayaan A yang merupakan golongan dominan dalam sesebuah negara. Di Malaysia, sebagai contoh asimilasi bukanlah konsep perpaduan yang baru di Malaysia. Kita lihat sahaja, masyarakat Baba dan Nyonya menjadi rujukan terbaik hasil daripada proses asimilasi etnik Cina dengan kebudayaan Melayu. Pada zaman Kesultanan Melaka dan Kesultanan Johor-Riau asimilasi suku Orang Laut berlaku apabila dalam perkahwinan campur berlaku menyebabkan Suku Mah Meri, suku Orang Kanaq, suku Orang Kuala dan suku Orang Seletar dikategorikan oleh Malaysia sebagai orang asli Malaysia. Pada hari ini kita dapat melihat orang Cina dan India berbaju kurung dan ini tidak memberi pandangan yang sinis oleh orang Melayu. Berkat daripada sistem pendidikan kebangsaan, generasi muda bukan Melayu begitu fasih berbahasa kebangsaan.

Amalgamasi  - Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru. Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah dengan terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik. Terori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, disini A,B, dan C mewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A,B dan C. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan etnik yang sedia wujud mengamalkan perkahwinan campur lalu membentuk satu generasi baru atau budaya baru tanpa menuruti budaya asal mereka. Di Malaysia, proses amalgamasi yang dapat kita lihat pada masa kini adalah masyarakat Serani iaitu perkahwinan campur antara orang Portugis dan Melayu.

Pluraliti  - Pluraliti ataupun majmuk bermaksud gabungan dua atau tiga perkataan yg mem punyai satu pengertian. Masyarakat majmuk bermaksud ~ masya rakat yg terdiri daripada beberapa kaum (suku bangsa) atau bangsa.Pluralisme budaya bukan fenomena baru dalam Alam Melayu. Interaksi antara pelbagai budaya seperti Arab pra-Islam, Hinduisme, Buddhisme, Arab Islam dan Eropah (yang diwakili oleh Portugis, Sepanyol, Belanda dan British) dengan budaya Alam Melayu telah berlaku sekurang-kurangnya sejak abad ke 5 Masihi lagi. Pertembungan dan pertemuan budaya-budaya besar dunia tersebut telah melahirkan satu ciri fenomena social yang istimewa dalam Alam Melayu iaitu fenomena kepluralitian budaya.


FAKTOR-FAKTOR

 

FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA PERPADUAN DAN KEMASYARAKATAN DI MALAYSIA


Untuk menngekalkan perpaduan sesebuah negara bukanlah mudah. Namun begitu, Malaysia masih lagi mampu untuk mengekalkan perpaduan dan kemasarakatannya. Ini adalah sesuatu pencapaian yang membangakan buat semua yang bergelar rakyat Malaysia. Tambahan pula, Malaysia sering kali menghantar wakil untuk ke luar negara bagi memberikan pendapat tentang cara-cara mewujudkan dan mengekalkan perpaduan kepada negara-negara yang sedang berperang. Contohnya, lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Filipina bagi memberi pendapat mengatasi konflik yang telah wujud sekian lama di negara tersebut. 


Antara faktor yang membawa kepada perpaduan dan kemasyarakatan di Malaysia ialah:

Melalui Peristiwa 13 Mei 1969 Dijadikan Teladan


Pada tanggal 13 Mei 1969, keharmonian negara telah dikejutkan dengan peristiwa yang hampir meragut dan menghancurkan keutuhan negara. lebih-lebih lagi baru enam tahun usia pembentukan Malaysia. Tragedi ini berlaku ekoran daripada pelbagai isu-isu sensetif telah disentuh bagi mencapai kemenangan dan untuk kepentingan diri sendiri. 


Bagi mengatasi Kerajaan telah mewujudkan pelbagai dasar ke arah pembentukan integrasi nasional. Antara dasar–dasar dan pelan tindakan khas kerajaan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 – 1990 dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) 1991 – 2000, Dasar Wawasan Negara dan juga Program 1 Malaysia.


Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990 merupakan dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak semasa berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969. Antara faktor berlakunya peristiwa itu ialah kerana keadan ekonomi Tanah Melayu pada ketika itu secara keseluruhannya boleh dikatakan dikuasai oleh masyarakat dari kaum Cina. Masyarakat Cina turut menguasai perniagaan dan bank di kawasan bandar dan juga kawasan-kawasan perlombongan bijih timah. keadan ekonomi yang dikuasai oleh sekolompok masyarakat sahaja membawa kepada berlakunya ketidakseimbangan ekonomi serta menimbulkan perasaan iri hati dan benci dalam kalangan penduduk di Malaysia.



Peristiwa 13 Mei

Dalam waktu yang membimbangkan ini, punca tercetusnya perusuhan itu dikesan dan langkah mengatasinya telah diambil. Penggubalan dasar ini bertujuan untuk mencapai perpaduan negara dengan memperbetulkan ketidakseimbangan sosio – ekonomi antara kaum dan wilayah. Ia juga diwujudkan untuk mempertingkatkan penglibatan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan sebagai usaha untuk membasmi perasaan tidak puas hati dalam masyarakat.

Bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, usaha diteruskan lagi dengan pelancaran dasar pembangunan nasional pada 17 Jun 1991. Dasar tersebut meneruskan pencapaian DEB dalam pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.

Objektifnya ialah untuk membina sebuah negara yang bersatu padu dan mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, maju, aman dan makmur berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan dan rukun negara.

Dasar Wawasan Negara (2001-2010) atau dikenali sebagai Wawasan 2020 merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan ekonomi, sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Menjelang tahun 2020, Malaysia diharapkan mampu menjadi sebuah negara yang bersatu padu di mana masyarakat Malaysia mempunyai nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing.

Konsep 1 Malaysia

Konsep 1Malaysia telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.

Konsep ini juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Untuk mencapai kemajuan bagi negara,sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

 

Logo 1 Malaysia

Pendidikan

Persefahaman kaum juga dapat dipupuk secara berkesan menerusi pendidikan. Antara langkah yang dilakukan ialah dengan penubuhan sekolah wawasan. Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum.
Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah.

Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.

Inisiatif ini diambil pengajaran daripada sistem pendidikan penjajah dimana sekolah ditubuhkan mengikut kaum. Contohnya, sekolah Cina untuk kaum Cina, sekolah India untuk kaum India dan begitu juga dengan bangsa Melayu. Sukatan pelajaran yang dipelajari juga adalah berbeza-beza kerana masing-masing sekolah menggunakan sukatan pelajaran dari negara asal. mereka juga menggunakan bahasa ibunda dalam pertuturan seharian menyebabkan komunikasi sukar untuk dilakukan dengan kaum lain.

Oleh itu, penubuhan sekolah kebangsaan adalah faktor yang membawa kepada perpaduan dan kemasyarakatan di Malaysia. Ini kerana, dengan adanya sekolah ini, pelajar dapat berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan Bahasa Melayu. Ini memudahkan lagi proses suai kenal dan memahami antara satu sama lain.

Penambahbaikan telah dilakukan dalam kurikulum. Antara usaha telah dilaksanakan antaranya adalah:

1)     Menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama.

2)     Kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.

3)     Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua.

4) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya - menyediakan pendidikan yangg      menyeluruh, seimbang & bersepadu.

5)    Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang & mutu dengan mengagihkan peruntukan    secara adil & memberi perhatian khas kepada golongan yang kurang bernasib baik &  kawasan luar bandar atau pedalaman.



Sekolah Kebangsaan


Penubuhan Parti Politik

Penubuhan parti politik di negara kita bermula sekitar 1940. hal ini kerana wujudnya kesedaran politik rentetan pengenalan Malayan Union. Penubuhan Malayan Union adalah ditentang sama sekali oleh orang Melayu kerana kerakyatan Jus Soli memberikan hak sama rata kepada semua kaum dan ini dianggap boleh melemahkan lagi kedudukan orang Melayu. Oleh itu, Malayan Union dibubarkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Selepas itu, UMNO, MCA, MIC pula ditubuhkan dengan objektif awal untuk membela kedudukan kaum masing-masing dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Masing-masing kaum menpunyai tempat untuk mengadu dan aduan tersebut akan disuarakan dalam persidangan yang dilaksanakan. Sistem ini juga lebih teratur kerana pemimpin parti politik yang akan membela kedudukan kaum masing-masing dalam apa jua aspek berbanding dengan menggunakan teknik pertumpahan darah seperti peristiwa 13 Mei. Ini dapat mengelakkan sikap berat sebelah seterusnya membawa kepada pertumpahan darah. Ini juga dapat membawa kepada perpaduan dan kemasyarakayan di negara ini.

Terbentuknya Parti Perikatan hasil gabungan UMNO, MCA, MIC seterusnya merapatkan lagi hubungan antara orang Melayu, Cina dan India dalam bidang politik yang bermaufakat dalam usaha memupuk kerjasama kaum ke arah mencapai perpaduan. Perpaduan dan kemasyarakatan yang dibentuk dapat menjamin keadan negara yang aman dan damai. Selain itu, rakyat juga dapat berkerjasama antara satu sama lain.



Tokoh-Tokoh Politik MCA, UMNO Dan MIC


Peranan Media Massa

Media massa merupakan satu saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien. Media massa boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media elektronik. Menurut L. John Martin, media massa merujuk kepada alat yang mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih moden.

Media dapat menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat (Vir Bala Aggarwal, 2002: xvii). Oleh itu, media memainkan peranan yang amat penting bagi memperbaiki hubungan antara kaum yang menjadi semakin buruk ini.

Media cetak seperti surat khabar, majalah dan buku membantu menyedarkan maklumat kepada masyarakat. Dengan memaparkan info mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama kaum yang terdapat di dalam Negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat mengetahui dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Justeru, rasa hormat-menghormati antara satu sama lain akan ditimbulkan dalam hati setiap individu.

Di samping itu, media elektronik seperti televisyen, radio, laman web dan lain-lain juga merupakan satu peralatan yang dapat menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan mudah. Media elektronik memainkan peranan dengan menayangkan iklan-iklan yang boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat.

Sebagai contohnya, kempen–kempen yang ingin dijalankan oleh kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan haruslah dibantu oleh media elektronik kerana saluran ini adalah alat yang berkesan dalam penyampaian maklumat pada zaman teknologi yang canggih ini.

Peranan ini membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam kempen berkenaan dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi menanam semangat perpaduan.



Contoh Peranan Media Massa


Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra.

Dengan itu, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.



Program PLKN


Kesimpulannya, terdapat banyak faktor-faktor yang membawa kepada perpaduan dan kemasyarakatan bagi menghasilkan negara yang aman dan sejahtera. selain itu, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.

Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Justeru, masyarakat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

PENGENALAN

 

PERPADUAN DI MALAYSIA

PENGENALAN




Malaysia mempunyai variasi kaum yang hidup dalam komuniti yang aman dan harmoni. Kepelbagaian kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India yang hidup bagai aur dengan tebing menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di rantau ini. Peristiwa 13 Mei 1969 masih segar dalam ingatan setiap insan di Malaysia. Peristiwa berdarah yang melibatkan rusuhan kaum padda ketika itu perlu menjadi ikhtibar bagi setiap generasi. Sesungguhnya peristiwa 13 Mei 1969 yang mencatatkan titik hitam dalam sejarah perpaduan kaum di Malysia wajar direnungi agar pisang tidak berbuah dua kali. Perpaduan kaum amat penting dipertahankan agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju kea rah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Justeru, langkah-langkah drastik perlu diimplementasikan dalam usaha memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia.

Laungan merdeka 66 tahun yang lalu adalah hasil usaha permuafakatan antara kaum di Malaysia. Persoalannya, mengapakah pentingnya perpaduan kaum kepada sesebuah negara? Perpaduan kaum amat penting untuk mewujudkan sesebuah negara yang aman dan damai. Ketika negara lain diancam dengan rencaman isu keganasan, Malaysia tetap gah di mata dunia sebagai sebuah negara yang makmur lagi harmoni. Hal ini adalah kerana segenap lapisan masyarakat hidup bersatu padu dan menjadi perencah kepada kemakmuran Malaysia. Keakraban dan permuafakatan dalam kalangan masyarakat majmuk telah melahirkan satu identiti negara yang dikagumi pada peringkat global. Tuntasnya kita dapat menyimpulkan bahawa masyarakat yang bersatu padu akan membina satu bangsa yang berdaulat dan maju serta mewujudkan sebuah negara yang aman dan damai.

Dalam mengharungi arus pemodenan dan cabaran globalisasi, sesuatu perlu dilakukan untuk memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia. Pendidikan merupakan satu wadah penting untuk merealisasikan hasrat murni ini. Secara analoginya, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami perubahan sejak dari zaman sebuelum merdeka hinggalah kini. Pelaksanaaan Dasar Bahasa Kebangsaan berteraskan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Ordinan Pelajaran 1957, Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1983 dan beberapa penyata serta akta-akta pendidikan yang lain telah membolehkan semua kaum berkomunikasi secara berkesan dengan menggunakan bahasa Melayu. Pengenalan satu sistem pendidikan bercorak kebangsaan yang merupakan wadah untuk mengeratkan hubungan antara kaum. Melalui sistem pendidikan yang sama, pelajar daripada pelbagai kaum akan belajar dan berinterksi bersama-sama dan proses ini akan menggalakkan proses perpaduan kaum. Kementerian Pelajaran juga telah memperkenalkan sekolah wawasan yang menempatkan tiga aliran pendidikan iaitu aliran kebangsaan, Cina, dan India di satu kawasan yang sama. Interaksi antara ketiga-tiga aliran pendidikan ini akan memperkasakan hubungan antara kaum. Selain itu, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di sekolah-sekolah kebangsaan turut membolehkan pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain. Sesungguhnya sistem pendidikan kebangsaan menjadi pemangkin untuk mengeratkan hubungan antara kaum di Malaysia.

Selaras dengan era teknologi maklumat dan komunikasi, ledakan informasi yang drastik dan radikal yang sedang melanda seantero pelosok negara, hubungan antara kaum juga perlu disemarakkan. Amalan kemasyarakatan seperti bergotong-royong turut membantu mengeratkan hubungan antara kaum. Inovasi terhadap budaya tolong menolong yang melahirkan aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat seperti gotong royong dan Rukun Tetangga mampu menjana semangat perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat. Usaha menyemarakkan aktiviti-aktiviti ini semula adalah dengan menyediakan insentif-insentif tertentu yang sudah pasti akan menambahkan wadah pemupukan perpaduan bangsa. Cadangan menjalankan aktiviti gotong-royong sebagai satu program nasional atau sekurang-kurangnya sebagai acara dalam perayaan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan wajar dipertimbangkan kerana amalan ini dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia.




Perkembangan budaya yang berlaku dalam negara ini sejak zaman kemerdekaan jelas menunjukkan bahawa penerapan nilai-nilai budaya sesuatu kaum oleh suatu kaum yang lain berlakku tanpa paksaan. Misalnya, bilangan wanita bukan Melayu yang memakai pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung semasa menghadiri majlis-majlis rasmi semakin bertambah walaupun tiada sebarang peraturan yang memaksa mereka berbuat demikian. Demikian jugalah dengan bilangan rakyat bukan Melayu yang menggemari nasi lemak, sambal belacan dan sebagainya bertambah banyak. Orang Melayu juga banyak yang menggemari masakan orang Cina seperti nasi goreng dan kuewtiaw goreng. Penerapan nilai-nilai budaya berbilang kaum ini akhirnya akan menjurus kepada perpaduan kaum yang utuh dan kukuh.

Sebagai intiha, dapatlah disimpulkan bahawa unsur-unsur mangkin yang efektif membantu memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia. Pelbagai pihak perlu bertoleransi, bermuafakat dan bekerjasama dalam usaha mencapai aspirasi keharmonian dan pemodenan negara bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Perpaduan antara kaum dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat dan menjadi wadah penting kepada kesejahteraan masyarakat sama ada pada peringkat lokal mahupun global. Perpaduan kaum merupakan aset negara yang paling bernilai demi menjamin kemajuan negara menjelang tahun 2020 dan bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.






SOALAN-SOALAN LAZIM

  SOALAN-SOALAN LAZIM   Apakah kesan positif kepelbagaian etnik terhadap pembangunan Malaysia?  Apakah peranan media massa dalam mengukuhkan...